Minggu, 09 Juni 2013

Memperbaharui Momentum Sebuah Perjuangan

Alhamdulillah,syukur kepada Allah yang masih memberi kesempatan pada saya untuk mengambil peduli,membuat sesuatu pada blog yang telah bersawang dan berkusam ini.
Satu visi jangka pendek yang telah lama dirancang tetapi baru kini teraplikasi. Semasa saya bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat dan adik-adik usrah saya, ramai yang mengakui dan bersetuju, gelombang facebook yang mengganas di mana-mana sahaja kini antara penyebab ada dikalangan kami yang dulunya blogger yang aktif, kini menjadi begitu pasif, blog terbiar sepi tanpa sebarang update terkini. Facebook sudah menjadi alternatif mudah,ringkas dan efektif untuk meng'update' status diri. Tak perlu bersusah payah memerah idea, menyusun ayat yang rapi untuk membuat sebuah posting di blog, cukup sekadar beberapa ayat ringkas di facebook. Kalau blog,masakan nak posting satu entry hanya sekadar dengan beberapa ayat sahaja.Letih orang buka blog kita semata-mata hanya ingin menatap posting yang berbunyi, "Saya ke Melaka hari ni,doakan perjalanan selamat". Facebook juga membolehkan kita berinteraksi dengan beratus-ratus orang serentak dalam masa yang sama berbincang sesuatu isu atau persoalan tanpa ada batasan jaringan.
Saya mungkin antara golongan yang mula meng'anaktiri'kan blog tatkala begitu asyik dengan facebook. Fitrah manusia,sukakan sesuatu yang baru dan lebih mudah. Hendak membuka blog sendiri rasa susah,sampaikan hampir saja saya terlupa password blog sendiri! Suami saya mencadangkan saya menukar template blog dan masukkan benda-benda baru dalam blog.Baru akan rasa lebih bersemangat katanya. Beliau memang "pendesak tegar" saya untuk meng'update' blog.Saya mencubanya dan hasilnya agak memberansangkan.Saya mula menaip posting ini sejurus sahaja selesai menukar template blog!
Tiba-tiba saya teringatkan peristiwa Hijrah Nabi Muhammad S.A.W dan juga peristiwa perjanjian Hudaibiyah. Dua skrip penting dalam sejarah Islam yang menjadi 'tipping point' dalam perjuangan Rasulullah menyebarkan agama Islam. Dua peristiwa yang mendatangkan impak yang cukup dasyat dalam perjuangan Rasulullan S.A.W. walau hanya sekadar dengan nama sebuah perpindahan dan perjanjian.
Dalam hidup kita yang hanya sekali ini,jangan mudah mengalah melakukan sesuatu yang baik,jangan mudah menyerah dalam perjuangan. Sentiasa mencari jalan dan alternatif untuk sentiasa mampu menyelesaikan sebarang masalah yang kita hadapi dan bersemangat menempuh hidup.Perbaharuilah niat,perbaharuilah momentum sebuah perjuangan walau hanya sekadar dengan menukar template blog!
Saya hanya manusia biasa yang ingin menulis di blog ini,untuk peringatan dan perkongsian bermanfaat buat diri dan sesiapa yang sudi.Hakikatnya,kita hidup untuk agenda Allah!

Tidak ada komentar: